Assalamualaikum kepada para pembaca semua, hari ini negara kita telah menyambut hari Kemerdekaan yang ke lima puluh satu. Alhamdulillah penulis ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana telah melimpahkan kurnia dan rezeki kepada kita selama ini. Penulis merasakan sungguh gembira bercampur hiba apabila mengenangkan kembali sejarah perjuangan nenek moyang kita didalam mendapatkan kemerdekaan tanah air.
Segala usaha yang telah dilakukan untuk menjaga keamanan dan kemakmuran rakyat haruslah diteruskan tanpa rasa ragu-ragu. Pemimpin silih bertukar ganti namun untuk mengekalkan Kemerdekaan yang ada pada hari ini adalah tanggungjawab kita semua. Jika kita kembali kepada zaman Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan pejuang-pejuang Kemerdekaan yang lain, pada waktu itu betapa peritnya mereka ini termasuklah nenek moyang kita untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.
Banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan sebelum ini sehingga terpaksa menggadaikan harta dan nyawa untuk membebaskan tanah air daripada kongkongan penjajah yang zalim. Jadi sempena hari kemerdekaan yang ke lima puluh satu ini bersama-samalah kita menanamkan semangat cintakan negara dan bermuhasabah diri. Ekoran daripada apa yang berlaku sejak kebelakangan ini seperti kenaikan harga minyak dan barangan harian yang lain, kita sebagai rakyat tidak seharusnya cepat melatah. Kita semua harus ingat dugaan yang datang pada hari ini adalah kecil jika dibandingkan dengan zaman sebelum kemerdekaan.
Mungkin kita sudah biasa hidup mewah dan senang lenang selama berpuluh-puluh tahun sampaikan bila timbulnya satu krisis kita semua berpecah belah dan bertelagah sesama sendiri. Pada saat krisis begini, seharusnya ia menjadi satu kebangkitan untuk kita semua orang Melayu bersatu padu mencari jalan penyelesaian untuk menangani segala kesulitan yang telah berlaku. Penulis berpendapat setiap orang Melayu harus senantiasa merujuk kembali kepada sejarah perjuangan lampau orang-orang Melayu untuk bangkit dan sedar mengenai betapa pentingnya untuk kita bersatu padu. Sejarah mungkin boleh berulang jika kita leka dan lalai dengan keamanan dan kemewahan yang kita kecapi selama ini. Oleh itu bersama-samalah kita menghayati kembali sejarah Kemerdekaan dan juga tema hari Kemerdekaan yang ke 51 iaitu "Perpaduan Teras Kejayaan" , sekian.
"Keris"
sebagai simbol perjuangan orang Melayu
Sabtu, 30 Ogos 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)


Tiada ulasan:
Catat Ulasan